fb fb fb fb fb

Kadar inflasi diunjurkan kekal 2 peratus tahun ini

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Jun - Maybank Investment Bank Group (Maybank IBG) mengekalkan unjuran kadar inflasi keseluruhan pada 2 peratus tahun ini, di sebalik pelaksanaan semakan semula dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Bank pelaburan itu menerusi nota penyelidikannya memaklumkan, pengekalan itu turut mengambil kira kesan pelbagai faktor.

Ini termasuk semakan tarif Tenaga Nasional, rasionalisasi subsidi RON95, serta peningkatan kos buruh susulan pelaksanaan gaji minimum, caruman KWSP pekerja asing dan levi.

''Maybank IBG meramalkan peluasan skop SST akan meningkatkan kadar inflasi sekitar 0.25 peratus.

''Bagi tempoh empat bulan pertama 2025, kadar inflasi direkodkan pada 1.5 peratus.

''Pelaksanaan pengecualian cukai serta kebolehan pihak industri untuk memindahkan kos secara berhemat akan memainkan peranan penting dalam menguruskan kesan inflasi,'' menurut bank pelaburan itu.

Sementara itu, Maybank IBG menjangkakan, kesan yang neutral kepada sebahagian besar sektor ekonomi, meskipun skop cukai kini diperluas meliputi enam kategori baharu.

Namun, sektor hartanah dilihat sebagai kumpulan yang paling terkesan dan dijangka akan meningkatkan kos operasi pemaju hartanah.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ