fb fb fb fb fb

JC3 lancar panduan pembiayaan mampan, peralihan untuk sektor perbankan

Foto JC3

KUALA LUMPUR, 17 Disember- Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) melancarkan Panduan Pembiayaan Mampan dan Peralihan (STFG) sebagai garis panduan praktikal kepada bank dalam menyediakan pembiayaan yang lestari dan mampan.

Panduan itu turut menyediakan alat penilaian bagi membantu bank menilai kemajuan peralihan pelanggan secara konsisten, sekali gus menyokong aliran modal ke arah aktiviti ekonomi rendah karbon.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, sebagai Pengerusi Kumpulan Kerja STFG, Maybank komited untuk memperkukuh landskap pembiayaan mampan dan peralihan dalam sektor kewangan Malaysia.

"Keistimewaan STFG terletak pada kerjasama erat antara industri perbankan dan pengawal selia, yang menterjemahkan prinsip global kepada panduan praktikal dan boleh dilaksanakan mengikut konteks Malaysia bagi menyokong peralihan ekonomi sebenar," katanya.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata sektor kewangan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan yang bertanggungjawab serta nilai jangka panjang untuk masyarakat dan alam sekitar.

"STFG menjadi rujukan penting untuk menyelaraskan sektor perbankan dengan aspirasi kemampanan negara, selain meningkatkan keupayaan kolektif industri perbankan untuk menggerakkan pembiayaan mampan dan peralihan secara berskala," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC, Amanah Raja Amir Shah Raja Azwa berkata bank itu turut menyokong tindakan kolaboratif bagi membina daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia.

"Panduan STFG ini memainkan peranan penting dalam menggalakkan amalan pembiayaan mampan dan peralihan yang bertanggungjawab dalam kalangan institusi kewangan, selain menjadi rujukan bagi inisiatif pembinaan kapasiti yang boleh diperkukuh oleh JC3," menurutnya.

STFG itu dilancarkan oleh Sub Jawatankuasa Produk dan Inovasi JC3 sempena penganjuran Transition Planning Clinic yang berlangsung di Sasana Kijang baru-baru ini.

Ia dibangunkan oleh kumpulan kerja diketuai Maybank melibatkan CIMB dan HSBC Amanah dengan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pelancaran panduan itu turut disaksikan oleh Penolong Gabenor BNM dan Pengerusi Bersama JS3, Madelena Mohamed dan Ketua Pegawai Kemampangan SC, Neetasha Rauf.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM