KUALA LUMPUR, 20 Mac – Industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) negara kini berdepan cabaran besar berikutan tekanan persaingan dari segi daya maju kewangan, ketidaktentuan geopolitik serta peralihan tenaga.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata Malaysia perlu memastikan industri OGSE kekal berdaya tahan dan mampu bersaing di peringkat serantau dalam menghadapi perubahan tersebut.
Menurutnya, dua visi transformatif diperlukan, iaitu memanfaatkan kepakaran dalam peralihan tenaga serta memperkasa skala pemain OGSE tempatan agar mampu menjadi juara serantau.
"Pemain tempatan kita memiliki kelebihan teknologi untuk beralih kepada panel solar dan bahan api penerbangan lestari, serta mengembangkan projek hiliran yang sebelum ini hanya terhad kepada kajian perintis dan kebolehlaksanaan.
"Sejak pelancaran Rangka Kerja Peralihan Tenaga Nasional (NETR), saya secara peribadi telah melihat peningkatan minat pelabur asing terhadap OGSE kita, terutamanya dari segi kerjasama dan teknologi," katanya ketika berucap pada Peluncuran Kajian Separuh Penggal Pelan Induk Industri OGSE Nasional, di ibu negara, hari ini.
Tambah Rafizi, Malaysia menyasarkan untuk memiliki 10 syarikat OGSE yang berjaya berkembang dalam sektor tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030.
Selain itu, Program Juara Serantau turut dirangka bagi melahirkan pemain OGSE tempatan bertaraf serantau, sekali gus memperkukuh daya saing negara dalam industri tenaga masa hadapan.