KUALA LUMPUR, 20 Mac- Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil hari ini susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai sistem konvensional meningkat kepada RM38.51 bilion daripada RM29.45 bilion pada pagi, manakala mudah tunai dana Islam lebih rendah pada RM17.99 bilion berbanding RM20.90 bilion sebelumnya.
Awal hari ini, bank pusat menawarkan tiga tender repo berbalik, dua tender repo berbalik Islam dan satu tender repo berbalik semalaman.
Bank pusat turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula dan kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar dengan tempoh seminggu, sebulan dan tiga bulan.
Pada 4 petang, BNM menawarkan tender pasaran wang konvensional RM38.5 bilion dan tender pasaran wang Murabahah RM18 bilion, kedua-dua dengan tempoh matang sehari.
Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 3.01 peratus pada 19 Mac.- BERNAMA