KOTA BHARU, 27 April – Kejayaan Malaysia sebagai pengeksport utama sektor kelapa sawit, getah dan koko akan dijadikan rujukan dalam usaha memajukan industri kenaf di negara ini, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menurut beliau, matlamat tersebut mampu direalisasikan sekiranya terdapat strategi yang berkesan serta ekosistem yang lengkap dalam pembangunan industri kenaf.
"Jadi sekarang ini macam-macam kenaf boleh buat, tapi nak buat macam-macam ini kena ada kemahiran. Kalau tidak ada kemahiran, susah hendak bangunkan.
"Saya sudah beri beberapa cadangan kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) untuk melihat bagaimana kita ambil contoh kelapa sawit, getah dan koko, bagaimana mereka berjaya menjadi komoditi pengeksport negara. Kenaf belum sampai ke tahap itu lagi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi LKTN 2025 dan Pelancaran Dua Varieti Baharu Kenaf, M1 dan M2, di sini hari ini.
Johari menjelaskan, industri kenaf di Malaysia masih berskala kecil dengan keluasan tanaman hanya sekitar 1,600 hektar di seluruh negara.
Sehubungan itu, pelbagai aspek perlu diperhalusi bagi mengembangkan industri tersebut, termasuk merangka pelan strategik lima tahun untuk memastikan ia terus berdaya saing dan mampu menghasilkan kenaf berkualiti tinggi.
Beliau turut mencadangkan supaya beberapa pegawai LKTN dihantar ke negara pengeluar utama kenaf seperti China, Indonesia dan Bangladesh untuk mempelajari secara langsung perkembangan industri tersebut dan mengadaptasikan pengalaman itu ke dalam konteks Malaysia.