fb fb fb fb fb

Malaysia kekal eksport produk getah ke AS walaupun dikenakan tarif

Malaysia akan terus mengeksport produk getah ke Amerika Syarikat (AS) meskipun berdepan dengan tarif asas sebanyak 10 peratus / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 28 April – Malaysia akan terus mengeksport produk getah ke Amerika Syarikat (AS) meskipun berdepan dengan tarif asas sebanyak 10 peratus, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau menegaskan, hanya produk keluaran tempatan dibenarkan untuk dieksport ke negara tersebut bagi mengelakkan Malaysia dijadikan pusat transit produk pihak ketiga.

"Kita perlu pastikan semua ini, terutama sarung tangan getah. Ia mesti produk Malaysia dan tidak boleh digunakan sebagai pemindahan barang dari satu kapal oleh negara lain.

"Oleh itu, kita akan mewajibkan melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) bahawa sebarang eksport sarung tangan getah harus datang daripada pengeluar tempatan," katanya selepas merasmikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Majlis Getah Malaysia di sini, hari ini.

Johari turut memaklumkan sektor getah negara kini merekodkan nilai eksport tahunan sebanyak RM37 bilion, dengan eksport sarung tangan sahaja menyumbang kira-kira RM15 bilion.

Tambah beliau, usaha untuk mempelbagaikan pasaran eksport sedang giat dijalankan, namun penghantaran ke Amerika Syarikat tetap akan diteruskan walaupun berdepan cabaran tarif.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN