fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia mulakan dagangan dengan kukuh susulan petunjuk positif daripada Wall Street

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 28 April- Bursa Malaysia dibuka positif, didorong oleh prestasi Wall Street yang baik berikutan ketidakpastian mengenai perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang terus mereda.

Pada 9.04 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.09 mata kepada 1,513.29 daripada 1,509.20 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran pada awalnya naik 2.63 mata, dibuka pada 1,511.83.

Suasana pasaran positif dengan 154 kaunter untung mengatasi 70 kaunter rugi. Sejumlah 249 kaunter tidak berubah manakala 1,994 kekal tidak diniagakan dan 58 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 68.48 juta saham bernilai RM35.25 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen bertambah baik, disokong oleh siri laporan pendapatan korporat yang kukuh.

Sementara itu, katanya hasil 10 tahun AS terus merosot kepada 4.255 peratus.

“FBM KLCI mengekalkan kenaikannya, ditutup hampir kepada paras 1,510 pada minggu lepas. Walaupun sentimen kekal berhati-hati, kami gembira prestasi bursa tempatan yang positif baru-baru ini didorong oleh kemasukan semula dana asing.

“Jika ini berterusan, kita boleh menjangka aliran meningkat yang baharu dengan paras 1,530 sebagai sasaran baharu,” katanya, sambil menambah beliau menjangka indeks akan berada dalam julat 1,510 hingga 1,520 hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah empat sen kepada RM9.91, Public Bank dan CIMB, masing-masing naik tiga sen kepada RM4.39 dan RM7.02 serta IHH Healthcare meningkat satu sen kepada RM6.88. Tenaga Nasional merosot dua sen kepada RM13.54.

Dalam dagangan aktif, SNS Network naik tiga sen kepada 46.5 sen, Avangaad dan SFP Tech, masing-masing meningkat setengah sen kepada 28.5 sen dan 22.5 sen manakala Careplus kekal stabil pada 16 sen. Nationgate merosot satu sen kepada RM1.29.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 34.52 mata kepada 11,254.36, Indeks FBMT 100 meningkat 33.33 mata kepada 11,023.25, Indeks FBM Emas Shariah menambah 29.90 mata kepada 11,114.16, Indeks FBM 70 menokok 62.08 mata kepada 15,853.18 dan Indeks FBM ACE naik 13.15 mata kepada 4,636.72.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 66.86 mata kepada 18,058.05, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.52 mata kepada 149.25, Indeks Tenaga menambah 1.18 mata kepada 675.86 dan Indeks Perladangan menokok 44.42 mata kepada 7,269.34.

Sementara itu, Bursa Malaysia Bhd, dengan kerjasama erat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menjelaskan kerugian daripada akses dan aktiviti dagangan yang tidak dibenarkan pada 24 April 2025, telah dapat dibendung.

Bursa Malaysia mengesahkan insiden itu, yang melibatkan sejumlah kecil akaun dagangan pelanggan dalam talian broker telah selesai dan langkah-langkah telah diambil untuk mencegah kejadian sama pada masa depan.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE