KUALA LUMPUR, 23 Disember - Penyertaan syarikat tempatan pada Ekspo Vietnam ke-23 berjaya menjana nilai jualan keseluruhan sebanyak RM295.7 juta.
Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Pavilion Malaysia menampilkan pilihan produk inovatif dan diperakui halal, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai penyedia barangan berkualiti tinggi dan dipercayai.
''Pavilion Malaysia juga berfungsi sebagai platform strategik untuk usahawan tempatan meraih pendedahan antarabangsa, memperluas akses pasaran serta meneroka peluang eksport di salah satu pasaran pengguna paling dinamik di ASEAN.
''Sepanjang pameran tiga hari, MATRADE turut memudah cara siri mesyuarat perniagaan, pembentangan produk serta sesi jaringan perniagaan antara pempamer Malaysia dan pembeli berpotensi dari Vietnam," menurut kenyataan itu.
Penyertaan delegasi negara diterajui oleh MATRADE dengan kerjasama SME Bank di bawah Program Pembangunan Keusahawanan Halal yang bertujuan membangunkan serta memperkasa usahawan halal dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana.
Pameran bertemakan “Penyelesaian untuk Gaya Hidup Moden” itu berlangsung dari 4 hingga 6 Disember 2025 di Pusat Pameran dan Konvensyen Saigon (SECC), Ho Chi Minh, Vietnam.
Vietnam merupakan antara rakan dagang terpenting Malaysia di ASEAN dengan jumlah dagangan kekal mengukuh kepada RM83.12 bilion pada 2024.