fb fb fb fb fb

Malaysia di landasan tepat capai pertumbuhan positif

Pertumbuhan ekonomi negara disokong oleh permintaan domestik yang berterusan, kestabilan pasaran buruh serta pelaksanaan dasar fiskal yang lebih berfokus dan bersasar/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Disember - Prestasi ekonomi Malaysia dilihat kekal berdaya tahan dan berada pada landasan yang positif untuk mencapai unjuran tahun ini, meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pertumbuhan ekonomi negara disokong oleh permintaan domestik yang berterusan, kestabilan pasaran buruh serta pelaksanaan dasar fiskal yang lebih berfokus dan bersasar.

Menurut beliau, tumpuan kerajaan terhadap sektor bernilai tinggi, termasuk digital, teknologi dan pembuatan berkemahiran tinggi membantu memperkukuh struktur ekonomi serta meningkatkan daya saing jangka sederhana negara.

"Malaysia kini menjadi tarikan kepada syarikat multinasional untuk membangunkan pusat data dengan permintaan yang meningkat di seluruh negara, khususnya di Selangor dan Johor.

"Pewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura pula bertindak sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi di selatan tanah air," katanya.

Tambah beliau, langkah penstrukturan semula subsidi dan penyaluran bantuan secara bersasar turut menyokong aktiviti ekonomi domestik tanpa memberi tekanan ketara kepada kos sara hidup.

Bagi tempoh seterusnya, kesinambungan reformasi fiskal, pembangunan bakat dan peningkatan produktiviti perlu diberi keutamaan bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi yang berterusan.

MASNIZA AWANG KECHIK