fb fb fb fb fb

Sektor pertanian kini sumber pendapatan menarik, catat lebih 1 juta pegangan

Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

PUTRAJAYA, 23 Disember- Bilangan pegangan pertanian di Malaysia kekal kukuh dengan lebih 1.03 juta pegangan direkodkan berdasarkan dapatan Laporan Banci Pertanian 2024.

Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 1.01 juta merupakan pegangan pertanian individu, manakala 21,189 pegangan pertanian diuruskan oleh pertubuhan.

Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan aktiviti pertanian didorong oleh permintaan makanan yang semakin tinggi, perubahan persepsi terhadap sektor pertanian serta penggunaan teknologi moden.

Menurut beliau, sektor pertanian kini tidak lagi dilihat sebagai bidang yang tidak menjanjikan masa depan, sebaliknya muncul sebagai sumber pendapatan yang semakin menarik, termasuk dalam kalangan usahawan dan golongan muda.

“Saya yakin faktor permintaan pasaran serta penggunaan teknologi telah menarik minat golongan muda untuk menceburi sektor pertanian."

''Jika dahulu mereka agak ragu-ragu, kini teknologi membantu memudahkan pengurusan kebun dan operasi pertanian. Dengan sokongan program kementerian dan agensi berkaitan, sektor pertanian dilihat berpotensi untuk terus berkembang,” katanya dalam Majlis Peluncuran Laporan Banci Pertanian 2024 secara dalam talian.

Tambahnya, penggunaan teknologi digital dan sistem pemantauan ladang membantu memudahkan pengurusan operasi pertanian, sekali gus menarik penglibatan baharu dalam sektor tersebut termasuk mereka yang tidak mempunyai latar belakang pertanian.

Selain itu, pelaksanaan pelbagai program oleh kementerian dan agensi berkaitan serta keperluan untuk mengukuhkan keterjaminan makanan negara turut menyumbang kepada pertumbuhan pegangan pertanian.

Jelasnya, laporan tersebut turut mendapati, jumlah pendapatan sektor pertanian pada tahun 2023 adalah sebanyak RM186.43 bilion, dengan subsektor tanaman muncul sebagai penyumbang terbesar iaitu RM132.06 bilion daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

Ini diikuti oleh subsektor ternakan, perikanan tangkapan, perhutanan dan pembalakan serta akuakultur sebagai penyumbang lain kepada pendapatan sektor pertanian.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM