fb fb fb fb fb

Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh 4.5 peratus pada suku kedua 2025 – DOSM

Ekonomi Malaysia diunjurkan mencatat pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus pada suku kedua tahun 2025 berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya / Foto Hiasan

PUTRAJAYA, 18 Julai – Ekonomi Malaysia diunjurkan mencatat pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus pada suku kedua tahun 2025 berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya, menurut anggaran awal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pertumbuhan itu disokong oleh permintaan pengguna yang kekal kukuh meskipun dalam suasana ekonomi global yang mencabar dan tidak menentu.

Penggunaan domestik terus menjadi pemacu utama, diperkukuh oleh pelarasan gaji sektor awam, cuti sekolah, serta perbelanjaan bermusim sempena Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Dalam kenyataan DOSM, pasaran buruh yang stabil, bersama kadar pengangguran dan inflasi yang rendah, turut menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan isi rumah.

Pelaksanaan berterusan program bantuan tunai seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sepanjang suku tahun ini juga menjadi antara faktor yang merangsang pertumbuhan.

Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi suku kedua dengan peningkatan 5.3 peratus, dipacu oleh aktiviti dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan, serta perkhidmatan perniagaan.

Sektor pembuatan mencatat pertumbuhan 3.8 peratus, disokong oleh pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal, minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan, serta prosesan makanan.

Walau bagaimanapun, sektor itu menunjukkan prestasi berbeza-beza dengan kadar pertumbuhan 5.6 peratus pada April sebelum menyederhana kepada 2.8 peratus pada Mei.

Sektor pembinaan pula merekodkan pertumbuhan dua angka sebanyak 11 peratus, mengekalkan prestasi cemerlang selama enam suku berturut-turut, didorong oleh pembinaan bangunan bukan kediaman dan aktiviti pertukangan khas.

Sektor pertanian turut mencatatkan pertumbuhan 2.0 peratus, terutamanya melalui subsektor kelapa sawit, manakala sektor perlombongan dan pengkuarian terus mengalami penyusutan sebanyak -7.4 peratus, dipengaruhi oleh penurunan pengeluaran dalam semua subsektor.

Dari sudut jualan perdagangan edaran, pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus pada Mei dicatatkan, sedikit mereda berbanding 4.7 peratus pada April, namun masih menunjukkan prestasi yang stabil khususnya dalam perdagangan borong dan runcit.

Secara keseluruhan, ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar sederhana iaitu 4.4 peratus bagi separuh pertama tahun 2025, menandakan daya tahan ekonomi Malaysia di sebalik cabaran luaran dan ketidaktentuan pasaran global.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN