KUALA LUMPUR, 19 Disember - Kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang kekal pada 5.75 sen seunit dilihat bertepatan dengan realiti pasaran semasa yang menuntut pendekatan lebih berhati-hati.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd. Mohd Sedek Jantan berkata, kadar dividen itu juga menepati jangkaan pasaran berikutan tekanan ekonomi global termasuk dasar tarif Amerika Syarikat (AS) yang meningkatkan tahap risiko pelaburan.
Beliau berkata situasi itu mendorong banyak syarikat menangguhkan keputusan perbelanjaan modal, sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhan keuntungan dan aliran pendapatan.
"ASB hanya mengagihkan pendapatan yang benar-benar direalisasikan dan mengekalkan harga unit pada RM1 seunit. Ini membolehkan turun naik pasaran diserap melalui rizab dalaman.
"Dalam struktur sebegini, kadar 5.75 sen mencerminkan prestasi ASB pada paras melebihi purata, kerana pelabur menikmati kestabilan modal tanpa terdedah kepada turun naik harga seperti dana yang mempunyai nilai aset bersih terapung," katanya ketika dihubungi RTM.
Tambah beliau, pengekalan kadar dividen ini menunjukkan aliran pendapatan kekal terurus tanpa menjejaskan modal simpanan.
Ini selain menawarkan perlindungan nilai melalui harga unit yang kekal, sekali gus memberi keyakinan kepada pencarum.
Pada masa sama, fleksibiliti pengeluaran pada bila-bila masa turut memberi kelebihan dari segi kecairan, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada sumber kewangan lain.
Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui syarikat pengurusan unit amanahnya Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Jumlah itu terdiri daripada agihan pendapatan 5.5 sen dan bonus 0.25 sen, menjadikan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM10.4 bilion, dengan memanfaatkan lebih 11.4 juta pemegang unit.