KUALA LUMPUR, 28 Mei - Jumlah dagangan Malaysia-China mencecah RM161.98 bilion bagi tempoh Januari hingga April 2025, dipacu oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E).
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memaklumkan, negara tembok besar itu kekal sebagai rakan dagang terbesar negara selama 16 tahun berturut-turut.
''Dagangan dua hala Malaysia-China berkembang sebanyak 7.5 peratus mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan Malaysia. Hubungan dagangan antara kedua-dua negara mendapat momentum baharu susulan lawatan Presiden Xi Jinping.
"Kunjungan itu mengukuhkan penjajaran strategik dalam pembangunan hijau, ekonomi digital dan infrastruktur serantau melalui inisiatif seperti Inisiatif Jalur dan Laluan," menurut MATRADE dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, MATRADE bakal mengetuai penyertaan Malaysia dalam Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-22 di Nanning, China dari 17 hingga 21 Septembert 2025.
Ekspo berkenaan menyasarkan lebih 100 syarikat tempatan berpotensi tinggi dalam sektor seperti makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, gaya hidup, penyelesaian digital, tenaga bersih dan inovasi seiring dengan aliran global dan permintaan pasaran China.