KUALA LUMPUR, 26 Disember- Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi dagangan pagi ini pada Boxing Day berikutan kekurangan pemangkin baharu dalam persekitaran sentimen lemah di bursa serantau, kata peniaga.
Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.12 mata kepada 1,452.26 daripada 1,454.38 pada Jumaat lepas.
FBM KLCI dibuka rendah 0.30 mata kepada 1,454.08 dan bergerak antara 1,451.15 dan 1,456.66 sepanjang sesi dagangan pagi selepas cuti Krismas semalam.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 444 berbanding 290 manakala 408 kaunter tidak berubah, 1,163 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.63 bilion unit bernilai RM955.27 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd percaya pasaran masih mengambil kira kenyataan daripada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang menyokong kadar faedah rendah, dengan data inflasi baru-baru ini yang dalam jangkaan.
“Berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS yang masih berkembang pada suku ketiga serta Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) dan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang meningkat pada kadar sederhana, kami menjangka pasaran global akan berada pada aliran meningkat dalam masa terdekat,” katanya.
Oleh itu, pada minggu ini, firma pembrokeran itu menjangka sokongan belian akan kembali ke pasaran tempatan, menjelang minggu akhir aktiviti memperelokkan akaun.
“Kami akan mencari kemungkinan peluang dagangan dalam kalangan saham wajaran tinggi perbankan pada minggu terakhir tahun ini,” katanya.
Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun merosot 0.09 peratus kepada 32,223.86, Hang Seng Hong Kong jatuh 1.69 peratus kepada 16,340.41 dan Kospi Korea Selatan berkurangan 0.01 peratus kepada 2,599.29.
Sementara itu, saham wajaran tinggi Maybank, CIMB dan Tenaga Nasional, masing-masing menambah satu sen kepada RM8.90, 5.81 dan RM10.00 manakala Public Bank merosot satu sen kepada RM4.24 dan Petronas Chemicals berkurangan dua sen kepada RM7.20.
Daripada saham aktif, Minetech naik 2.5 sen kepada 16 sen, Widad menambah setengah sen kepada 47.5 sen, Sarawak Consolidated meningkat satu sen kepada 90 sen manakala Leform dan Bina Puri, masing-masing merosot satu sen kepada 41 sen dan 8.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM 70 berkurangan 29.82 mata kepada 14,587.02, Indeks FBM Emas Shariah merosot 11.33 mata kepada 11,005.24, Indeks FBM ACE susut 11.08 mata kepada 5,205.12, Indeks FBM Emas turun 15.05 mata kepada 10,804.87 dan Indeks FBMT 100 jatuh 16.85 mata kepada 10,468.08.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.01 mata kepada 172.75, Indeks Perladangan susut 29.65 mata kepada 7,006.80, Indeks Tenaga berkurangan 1.71 mata kepada 816.89, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 46.70 mata kepada 16,200.39 manakala Indeks Hartanah naik 0.78 mata kepada 860.25. -BERNAMA