fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia rendah berikutan kekurangan pemangkin baharu

Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu berikutan kekurangan pemangkin baharu untuk mendorong pergerakan pasaran / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Mac - Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu berikutan kekurangan pemangkin baharu untuk mendorong pergerakan pasaran.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.59 mata kepada 1,530.83 daripada 1,538.42 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.91 mata lebih rendah kepada 1,536.51.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 255 berbanding 191 manakala 344 kaunter tidak berubah, 1,548 kaunter tidak diniagakan dan 74 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 331.77 juta unit bernilai RM179.45 juta.

Peniaga ActivTrades Anderson Alves berkata pasaran ekuiti Asia dijangka mengalami dagangan menurun pada Rabu memandangkan kebimbangan mengenai mudah tunai dan dinamik dagangan akhir bulan memberi kesan kepada pergerakan harga jangka pendek.

“Penting di sini kerana ketiadaan tema pasaran dominan pada masa ini, manakala turun naik ketara di semua aset pada tahap rendah dan ekuiti Amerika Syarikat kekal berdaya tahan.

“Peniaga menantikan panduan seterusnya daripada pegawai Rizab Persekutuan AS dan petunjuk ekonomi utama dari China, selain perbincangan berterusan mengenai dasar fiskal,” katanya.

Alves berkata dalam sesi dagangan hari ini, tumpuan akan diberikan kepada pengimbangan semula dan penetapan dagangan, terutama melibatkan euro, yen Jepun dan yuan China.

“Aktiviti ini menekankan hubungan kompleks antara permintaan korporat dan pelarasan kewangan akhir bulan. Tempoh ini ditandai dengan peningkatan jumlah dagangan dan langkah mengambil risiko berarah, memberi kesan kepada pasaran bon dan putaran sektor dalam ekuiti,” katanya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank susut 1.0 sen kepada RM9.68, Tenaga Nasional susut 8.0 sen kepada RM11.12 dan Petronas Chemical turun 3.0 sen kepada RM6.80, manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.25 manakala CIMB Group menambah 1.0 sen kepada RM6.51.

Antara saham aktif, Zantat Holdings meningkat 13.0 sen kepada 38 sen, MMAG Holdings dan Computer Forms masing-masing menambah 1.0 sen kepada 18 sen dan 16 sen manakala Techbase Industries dan Ingenieur Gudang masing-masing tidak berubah pada 20.5 sen dan 16.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 39.59 mata kepada 11,522.01, Indeks FBMT 100 kurang 40.82 mata kepada 11,165.50 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 58.65 mata kepada 11,607.11.

Indeks FBM 70 menambah 0.54 mata kepada 16,102.10 dan Indeks FBM ACE naik 1.72 mata kepada 4,911.74.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.28 mata kepada 179.24, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 11.34 mata kepada 17,208.70, Indeks Perladangan turun 37.90 mata kepada 7,306.62 namun, Indeks Tenaga meningkat 5.34 mata kepada 943.59.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada Khamis 28 Mac, 2024 sempena Nuzul Quran, cuti yang turut diambil oleh beberapa negeri di Malaysia.

Bursa tempatan dan anak syarikatnya akan beroperasi semula pada Jumaat 29 Mac, 2024.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN