fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dijangka stabil minggu depan

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 13 April- Bursa Malaysia dijangka stabil minggu depan disokong oleh asas yang kukuh dan penilaian menarik.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangkakan aktiviti membeli saham berharga rendah akan muncul minggu depan.

“Indeks petunjuk pasaran melonjak ke paras tertinggi baharu dalam tempoh 52 minggu pada Isnin, apabila ditutup pada 1,555.98.

“Walaupun berlaku penurunan selepas kenaikan itu, kami melihat pembetulan ini sebagai suatu yang perlu untuk mengekalkan aliran meningkat,” katanya kepada Bernama.

Meskipun menjangkakan pasaran reda buat seketika selepas kenaikan kukuh pada Isnin, beliau berkata indeks itu berada di kedudukan di atas daripada semua exponential moving averages (EMA).

“Ini membayangkan keadaan stabil yang berterusan dengan kecenderungan positif. Oleh itu kami menjangkakan indeks berlegar di sekitar paras 1,538 hingga 1,570 minggu depan dengan paras sokongan segera pada 1,534, diikuti 1,520.

“Paras rintangan kukuh seterusnya adalah pada 1,570, dan sekiranya paras itu berjaya dilepasi ia menandakan momentum peningkatan seterusnya,” katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut sebanyak 4.21 mata kepada 1,551.04 daripada paras 1,555.25 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun sebanyak 5.36 mata kepada 11,697.82, Indeks FBM Top 100 susut 11.82 mata kepada 11,326.92 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 3.11 mata kepada 11,862.99.

Sementara itu, Indeks FBM 70 meningkat 60.50 mata kepada 16,392.57 dan Indeks FBM ACE naik 118.53 mata kepada 5,100.12,

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut sebanyak 0.40 mata kepada 184.66 dan Indeks Penjagaan Kesihatan turun 5.57 mata kepada 1,986.97.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 32.38 mata kepada 17,271.80, Indeks Perladangan naik 10.60 mata kepada 7,470.69, Indeks Tenaga menokok 1.59 mata kepada 969.09 dan Indeks Teknologi naik sedikit sebanyak 0.44 mata kepada 64.96.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 11.31 bilion unit bernilai RM7.39 bilion daripada 19.34 bilion unit bernilai RM13.19 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 5.96 bilion saham bernilai RM6.39 bilion daripada 10.68 bilion saham bernilai RM11.43 bilion.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 3.14 bilion unit bernilai RM354.47 juta daripada 4.21 bilion unit bernilai RM489.19 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 2.17 bilion saham bernilai RM639.45 juta daripada 4.41 bilion saham bernilai RM1.25 bilion.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup pada Rabu dan Khamis (10 April dan 11 April) sempena cuti umum sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.- BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM