fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka rendah, jejaki prestasi Wall Street

BURSA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 26 April- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat, mengambil petunjuk daripada perkembangan negatif di Wall Street dalam tempoh semalaman, kata penganalisis.

Pada pukul 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.29 mata kepada 1,566.96 daripada 1,569.25 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.58 mata lebih rendah kepada 1,567.67.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 233 berbanding 133, manakala 270 kaunter tidak berubah, 1,737 kaunter tidak diniagakan dan 52 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 177.94 juta unit bernilai RM82.39 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, Wall Street susut dalam tempoh semalaman berikutan pelabur dikejutkan dengan data pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) terkini yang lebih rendah dalam keadaan inflasi tinggi yang berterusan.

Purata Perindustrian Dow Jones (DJI) merosot 375 mata manakala Nasdaq menguncup 101 mata dengan hasil 10 tahun AS ditutup lebih tinggi kepada 4.704 peratus.

“Namun begitu, niaga hadapan saham meningkat disokong oleh keuntungan kukuh yang direkodkan oleh Alphabet dan Microsoft semasa aktiviti selepas waktu dagangan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, Indeks Hang Seng Hong Kong mengekalkan aliran meningkat namun ditutup tinggi apabila dana asing menambah peruntukan mereka untuk aset China disokong oleh jaminan pihak berkuasa China baru-baru ini untuk menyokong pasaran Hong Kong.

“Di peringkat tempatan, FBM KLCI susut sedikit selepas mencecah paras tertinggi setakat ini dalam tahun ini ekoran aktiviti pengambilan untung yang dianggap baik.

“Justeru, kami yakin bursa tempatan mempunyai prospek untuk bergerak lebih tinggi. Oleh itu, kami menjangkakan indeks berlegar dalam julat 1,565 hingga 1,575 hari ini,” katanya.

Beliau berkata, minyak sawit mentah (MSM) turun di bawah RM3,900 satu tan, paras terendah dalam dua bulan sejajar dengan penurunan yang dialami minyak makan lain.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing susut 2.0 sen kepada RM9.76 dan RM11.84, Public Bank turun 1.0 sen kepada RM4.22, CIMB kurang 3.0 sen kepada RM6.65 dan IHH Healthcare menguncup 5.0 sen kepada RM6.20.

Bagi saham aktif, ATA IMS naik 1.0 sen kepada 29.5 sen, Notion VTEC naik setengah sen kepada 59 sen, Ekovest dan Alpha IVF masing-masing turun setengah sen kepada 44.5 sen dan 32.5 sen, manakala Minetech Resources tidak berubah pada 15 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 20.99 mata kepada 11,759.99; Indeks FBMT 100 kurang 20.82 mata kepada 11,397.65; Indeks FBM 70 merosot 47.07 mata kepada 16,308.23; Indeks FBM ACE menguncup 6.04 mata kepada 5,008.97 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 27.0 mata kepada 11,924.37.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 39.71 mata kepada 17,324.24; Indeks Tenaga kurang 4.40 mata kepada 967.0; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.47 mata kepada 186.09 manakala Indeks Perladangan merosot 35.44 mata kepada 7,390.61. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA