fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan pelabur ambil pendirian berhati-hati

Pada 9.20 pagi, indeks barometer merosot 2.69 mata kepada 1,444.43 berbanding 1,447.12 semasa ditutup semalam / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 13 Disember - Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan pelabur mengambil pendirian berhati-hati menjelang rumusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat hari ini, yang akan menentukan keputusan dasar kadar faedah terakhir bagi tahun ini.

Pada 9.20 pagi, indeks barometer merosot 2.69 mata kepada 1,444.43 berbanding 1,447.12 semasa ditutup semalam.

FBM KLCI dibuka rendah 1.04 mata kepada 1,446.08.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 191 berbanding 175, manakala 288 kaunter tidak berubah, 1,669 tidak diniagakan dan 21 digantung dagangan.

​Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup tidak berubah berikutan aktiviti pengumpulan membantu meningkatkan indeks di tengah-tengah sesi dagangan yang tidak memberangsangkan.

“Walaupun kami mengesan terdapat belian pada harga rendah, sentimen keseluruhan kekal berhati-hati di samping reaksi neutral terhadap rombakan Kabinet yang terkini.

“Untuk hari ini, kami berpandangan bahawa indeks adalah lebih tinggi dalam jajaran 1,445-1,455,” katanya.

Thong berharap Bursa Malaysia akan meneruskan trend sokongan belian pada saat-saat akhir seperti yang diperlihatkan dalam tempoh beberapa hari ini untuk terus meningkatkan pasaran saham.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.07, Public Bank susut satu sen kepada RM4.24, CIMB berkurangan dua sen kepada RM5.77 dan Tenaga Nasional berkurangan lima sen kepada RM9.88.

Saham wajaran tinggi lain yang turut mencatat penurunan adalah CelcomDigi yang turun tiga sen kepada RM4.07, Sime Darby Plantations menyusut lima sen kepada RM4.44, Nestle berkurangan RM1.20 kepada RM116.50 dan Maxis merosot dua sen kepada RM3 .81.

Bagi saham aktif, Sarawak Cable meraih enam sen kepada 27 sen, Bina Puri meraih setengah sen kepada sembilan sen, Handal Energy tidak berubah pada 13 sen dan Velesto turun satu sen kepada 21.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 10.07 mata kepada 10,672.01, Indeks FBMT 100 susut 9.65 mata kepada 10,339.90, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 11.79 mata kepada 10,763.02, dan Indeks FBM ACE merosot 13.49 mata kepada 5,117.54; , manakala Indeks FBM 70 menokok 28.77 mata kepada 14,106.95.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 15.28 mata kepada 16,360.99, Indeks Perladangan rendah 23.0 mata kepada 6,950.58 dan Indeks Tenaga turun 5.63 mata kepada 789.84.

Bagaimanapun, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.17 mata kepada 170.27.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN