fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka hampir tidak berubah

Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Januari- Bursa Malaysia dibuka hampir tidak berubah hari ini dalam persekitaran prestasi kurang menggalakkan di Wall Street semalaman, kata seorang penganalisis.

Pada pukul 9.05 pagi hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.24 mata kepada 1,462.13 daripada 1,462.37 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran, bagaimanapun, dibuka tinggi 0.48 mata kepada 1,462.85.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 165 berbanding 158 manakala 297 kaunter tidak berubah, 1,600 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 290.01 juta unit bernilai RM98.13 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah secara amnya berikutan aktiviti pengambilan untung apabila sentimen ditentukan oleh tafsiran terhadap pendirian Rizab Persekutuan (Fed) AS mengenai kadar faedah.

Sehubungan itu, Dow Jones Industrial Average merosot 284 mata manakala Nasdaq berkurangan 174 mata sebahagian besarnya berikutan jualan di Apple disebabkan penurunan penarafan. Hasil Perbendaharaan 10 tahun AS susut sedikit kepada 3.92 peratus.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng mengekalkan trend penurunannya dalam persekitaran kemerosotan di Wall Street dan jangkaan terhadap kadar faedah. Pesimisme terhadap ekonomi China yang pulih juga mendorong jualan di Bursa Saham Hong Kong.

Di peringkat tempatan, Thong berkata FBM KLCI akhirnya naik untuk ditutup melebihi paras 1,460 berikutan terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah pada sesi tengah hari semalam.

“Pada hari ini, kami menjangka belian saham akan berterusan dan mengekalkan bahawa bank akan terus menjadi tumpuan.

“Oleh itu, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,460-1,470 hari ini dengan paras 1,465 sebagai halangan utama. Jika paras ini dapat dilepasi, justeru, paras 1,500 dapat dicapai,” katanya kepada Bernama.

Daripada saham wajaran tinggi perbankan, Maybank dan Public Bank, masing-masing menambah 1.0 sen kepada RM8.90 dan RM4.28, PPB Group meningkat 12.0 sen kepada RM14.68, QL Resources naik 5.0 sen kepada RM5.78 dan CIMB merosot 1.0 sen kepada RM5.89.

YTL Power International meningkat 1.0 sen kepada RM2.81 dan Hong Leong Bank naik 2.0 sen kepada RM18.52.

Daripada saham aktif, Minetech meningkat 2.5 sen kepada 20.0 sen, Hong Seng Consolidated tidak berubah pada 3.0 sen, MMAG naik 1.0 sen kepada 16 sen dan Edaran melonjak 24 sen kepada RM1.45.

Di papan indeks, Indeks FBM ACE meningkat 6.89 mata kepada 5,374.39, Indeks FBM Emas merosot 2.75 mata kepada 10,900.18 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 2.85 mata kepada 10,553.15.

Indeks FBM 70 merosot 8.63 mata kepada 14,762.55 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 8.49 mata kepada 11,073.41.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah naik 0.79 mata kepada 898.70, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.08 mata kepada 176.36 dan Indeks Tenaga naik 0.60 mata kepada 821.44.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 14.28 mata kepada 16,324.82, bagaimanapun Indeks Perladangan jatuh 6.26 mata kepada 7,006.38. -BERNAMA

SITI AISHAH BINTI MD ISA