fb fb fb fb fb

Automechanika Shanghai 2025 : Penyertaan syarikat automotif tempatan tingkat daya saing, jaminan kualiti

Platform berkesan untuk syarikat Malaysia teroka peluang perniagaan menerusi sesi padanan bersama pembeli berpotensi / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Disember - Penyertaan 10 syarikat automotif tempatan dalam pameran perdagangan antarabangsa Automechanika Shanghai 2025 berjaya menjana jumlah jualan eksport mencecah RM163.5 juta.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memaklumkan, pencapaian itu mencerminkan peningkatan daya saing serta jaminan kualiti produk dan perkhidmatan buatan Malaysia berkaitan sektor automotif, khususnya di pasaran Asia yang berkembang pesat.

Pameran yang berlangsung dari 26 hingga 29 November lepas, menyediakan platform berkesan untuk syarikat Malaysia meneroka peluang perniagaan menerusi sesi padanan bersama pembeli berpotensi terutamanya dari China.

''Produk dan perkhidmatan seperti formulasi pelincir khusus automotif dan jentera industri, alat ganti serta komponen automotif terus mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli daripada China, Timur Tengah, negara ASEAN juga Eropah.

''Perkembangan itu mencerminkan keyakinan kepada Pengeluar Peralatan Asal (OEM) Malaysia yang mematuhi piawaian antarabangsa yang ketat,'' katanya.

Jelas Matrade lagi, syarikat automotif tempatan perlu memberi tumpuan kepada pembinaan keupayaan sebagai persediaan mengukuhkan daya tahan pada masa hadapan.

''Perkembangan pesat teknologi Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) mewujudkan keperluan mendesak untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja, memodenkan teknologi dan peralatan, serta mengguna pakai piawaian mobiliti hijau terkini.

''Penambahbaikan itu bakal memastikan sektor automotif Malaysia berupaya berinovasi dengan pantas dan mengekalkan kedudukan kukuh serta mampan dalam rantaian bekalan global,'' jelasnya.

FAUZIAH ABD RAHMAN