KUALA LUMPUR, 7 Mac – Aset rizab rasmi Malaysia meningkat kepada AS$118.3 bilion setakat 28 Februari lalu, berbanding AS$117.7 bilion yang direkodkan pada 14 Februari.
Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi kenyataan memaklumkan paras rizab tersebut mencukupi untuk membiayai 5.0 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Komponen utama rizab itu merangkumi rizab mata wang asing sebanyak AS$105.9 bilion, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berjumlah AS$1.2 bilion, serta hak pengeluaran khas bernilai AS$5.7 bilion.