KUALA LUMPUR, 7 Mac- Sembilan cadangan dikemukan pemain industri insurans dan takaful negara dalam usaha menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan.
Antaranya, papar kos purata prosedur dan rawatan biasa di hospital swasta, serta kadar inflasi kos perubatan tahunan.
Syor sama turut dibentangkan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), minggu lalu.
Menerusi kenyataan bersama, persatuan terlibat turut mengesyorkan pelaksanaan penetapan harga kumpulan berkaitan diagnostik (DRG).
"Ia bertujuan meningkatkan ketelusan dalam caj perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pengebilan.
Cadangan lain termasuk mengawal selia kos farmaseutikal menerusi kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," kata kenyataan itu.
Langkah tersebut untuk menggalakkan penggunaan ubat generik dan mengawal selia harga ubat.