KUALA LUMPUR, 25 Mei- ASEAN telah mengambil langkah berhemah dalam menghadapi perubahan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS), termasuk pelaksanaan dasar tarif balas, tanpa mengambil pendekatan konfrontasi, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata ASEAN memilih untuk terus berdialog dan mengukuhkan kerjasama dengan rakan ekonomi utama, termasuk AS, berbanding mengambil langkah balas yang boleh memburukkan keadaan.
"ASEAN telah bertindak secara bijak dan tidak terburu-buru. Kami tidak mengambil tindakan balas, sebaliknya memilih komunikasi terbuka sebagai asas kepada hubungan yang seimbang dan mampan,” katanya.
Tengku Datuk Seri Zafrul berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-25 di sini hari ini.
Tengku Datuk Seri Zafrul turut memaklumkan bahawa dasar baharu pentadbiran AS seperti pemindahan rantaian bekalan ke negara-negara sahabat, penyahgandingan strategik, dan penguatkuasaan perdagangan yang lebih ketat memerlukan ASEAN untuk menyesuaikan diri secara kolektif dan bertindak secara strategik.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua menteri dan delegasi atas sokongan berterusan dalam siri konsultasi Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) bersama rakan dialog termasuk China, Jepun, Australia dan New Zealand yang berlangsung sebelum ini.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 katanya, akan terus berusaha untuk memastikan perbincangan strategik bersama rakan ekonomi berlangsung pada masa yang sesuai, dengan penekanan turut diberi kepada usaha memperkukuh perdagangan intra-ASEAN bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pihak luar.
Mesyuarat AECC kali ini dijangka berlangsung secara padat dengan 11 agenda dibincangkan dalam tempoh separuh hari, melibatkan kemas kini inisiatif-inisiatif Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) serta cadangan yang akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Tengku Datuk Seri Zafrul turut menegaskan nilai-nilai asas ASEAN seperti keamanan, kestabilan, dan saling menghormati perlu terus menjadi panduan utama rantau ini dalam berdepan cabaran ekonomi global.
"Persekitaran ekonomi hari ini bukan isyarat untuk berundur, sebaliknya memerlukan iltizam baharu," katanya sambil menyeru semua pihak hadir untuk mendekati mesyuarat dengan semangat kerjasama dan pemikiran terbuka.
Dalam ucapannya juga, beliau mengalu-alukan kehadiran Timor-Leste dalam mesyuarat berkenaan selaras dengan Garis Panduan Disemak oleh Majlis Penyelaras ASEAN ke-35, yang membolehkan negara itu menyertai perbincangan AECC.