KUALA LUMPUR, 24 Mei – Kemajuan pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Tonggak Ekonomi ASEAN bakal menjadi tumpuan utama Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-25 yang dijadual berlangsung esok.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), perbincangan akan merangkumi hasil inisiatif yang digariskan menerusi Pelan Induk Komuniti Ekonomi ASEAN 2025 yang dijangka dimuktamadkan tahun ini.
Mesyuarat itu juga dijangka membincangkan tahap kemajuan ke arah pelancaran Pelan Strategik AEC baharu bagi tempoh 2026-2030.
Tumpuan turut diberikan kepada perubahan dasar ekonomi oleh kuasa-kuasa ekonomi utama dunia serta strategi ASEAN dalam menanganinya, yang akan diperhalusi oleh Menteri-menteri Ekonomi ASEAN, Menteri Luar Timor-Leste serta Setiausaha Agung ASEAN.
Selain itu, Majlis AECC ke-25 dijangka mempertimbangkan dan mengesahkan beberapa laporan serta dokumen hasil yang akan dibawa untuk diterima pakai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Sebagai persiapan menjelang mesyuarat utama, Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan Ekonomi (Prep-SEOM) telah diadakan hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI, Mastura Ahmad Mustafa serta dihadiri Ketua-ketua Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN dan Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Ekonomi ASEAN, Satvinder Singh.