KUALA LUMPUR, 25 Mei- ASEAN mencapai pelbagai kejayaan penting dalam integrasi ekonomi serantau, termasuk rundingan perjanjian perdagangan dan pelan strategik pasca 2025 menerusi Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-25.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata mesyuarat tersebut menjadi platform utama menyelaras dasar ekonomi ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ke-46.
"Antara isu utama yang dibincangkan termasuk ketegangan geopolitik global serta impak dasar tarif Amerika Syarikat terhadap landskap pelaburan dan perdagangan ASEAN.
"ASEAN tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan "perniagaan seperti biasa" dan perlu beralih kepada strategi yang lebih berani, tangkas dan berpandangan jauh," katanya dalam satu sidang media di sini.
Beberapa pencapaian utama diumumkan termasuk Penyempurnaan rundingan naik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), yang dijangka dimeterai semasa Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-47 pada Oktober 2025 di Kuala Lumpur.
Rundingan Memorandum Perjanjian (MoA) Dipertingkatkan bagi Grid Kuasa ASEAN (APG) berjaya diselesaikan dan akan ditandatangani dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 pada Oktober ini.
Selain itu, Malaysia menegaskan bahawa penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN menjadi keutamaan Pengerusi ASEAN 2025 dan diyakini akan mengukuhkan potensi ekonomi rantau ini.
Tengku Datuk Seri Zafrul menegaskan bahawa ASEAN kekal berpegang kepada peranan terasnya dalam rantau ini, berkecuali dan bersatu padu dalam menangani ketidaktentuan ekonomi global, sambil menunjukkan keupayaan kolektif bertindak secara tenang dan berhemah.
Malaysia juga menekankan perlunya tindakan kolektif bagi menghadapi dasar perdagangan global seperti yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Khas AEM bersama rakan dialog dan Mesyuarat pertama Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN pada 16 Mei lalu.