KUALA LUMPUR, 25 Mei-Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN dijangka meningkat kepada 4.7 peratus pada 2025 berbanding 4.2 peratus tahun lepas.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-25 hari ini turut membincangkan kadar inflasi di rantau ini yang dijangka berada pada tahap tiga peratus.
“Terdapat perbincangan dan pembentangan oleh Sekretariat ASEAN mengenai unjuran pertumbuhan KDNK bagi tahun 2025, berdasarkan perkembangan tahun 2024. Turut dibincangkan ialah jangkaan kadar inflasi bagi tahun tersebut."
“Oleh itu, hari ini, jangkaan ialah 4.7 peratus pada 2025 untuk pertumbuhan KDNK ASEAN dan inflasi pada sekitar tiga peratus,” katanya pada sidang media selepas tamat mesyuarat Majlis AEC ke-25 di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, hari ini.
Menurut Tengku Datuk Seri Zafrul, unjuran itu lebih tinggi daripada purata berbanding kadar pertumbuhan global dan ini didorong oleh eksport yang kukuh dan perbelanjaan modal awam di ekonomi yang lebih besar.