KUALA LUMPUR, 19 Disember - Prestasi ekonomi negara yang semakin stabil, khususnya pada suku ketiga tahun ini, menjadi pemangkin kepada pengukuhan nilai ringgit yang kini berlegar bawah paras 4.10 berbanding dolar Amerika.
Ketua Pegawai Eksekutif ISRA International Consulting, Prof. Madya Dr. Mohamed Eskandar Shah Mohd Rasid berkata, pengukuhan ringgit turut disokong oleh peningkatan eksport serta aliran masuk mata wang asing yang lebih kukuh.
Menurutnya pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga mencatatkan prestasi yang baik apabila eksport kembali meningkat, sekali gus mengukuhkan faktor asas ekonomi negara.
Keadaan itu membantu menstabilkan nilai ringgit dalam persekitaran global yang mencabar.
“Ini merupakan perkembangan baik kerana ringgit yang lebih kukuh membantu negara mengurus kos dengan lebih baik termasuk pembelian barangan berteknologi tinggi,” katanya ketika menjadi tetamu program Biz Malaysia di TV1.
Beliau menambah peruntukan Belanjawan 2026 turut memberi isyarat jelas kepada pelabur mengenai hala tuju perbelanjaan dan pelaburan negara, sekali gus menyokong keyakinan terhadap ringgit.
Dalam perkembangan berkaitan, perubahan dasar monetari Amerika Syarikat yang melibatkan penurunan kadar faedah turut mempengaruhi pergerakan mata wang global dan aliran pelaburan antarabangsa.
Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika pada Jumaat sekitar paras 4.08, disokong jangkaan terhadap pendirian dasar monetari Amerika Syarikat yang kurang agresif serta perkembangan terkini dasar bank pusat global.