fb fb fb fb fb

Aktiviti pengambilan untung asak Bursa Malaysia ditutup rendah

Foto fail

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih, terutamanya dalam sektor perkhidmatan kewangan dan utiliti terus mengasak Bursa Malaysia untuk ditutup rendah hari ini.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 13.90 mata mewakili 0.91 peratus kepada 1,511.50 daripada 1,525.40 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.63 mata lebih rendah pada 1,523.77 dan bergerak antara 1,510.14 dan 1,526.29 sepanjang sesi dagangan.

Pasaran secara keseluruhan adalah negatif, dengan 727 kaunter rugi mengatasi 335 kaunter untung, 432 kaunter tidak berubah, manakala 951 kaunter tidak diniagakan dan lapan digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 3.18 bilion saham bernilai RM2.44 bilion, berbanding 3.07 bilion saham bernilai RM2.36 bilion pada Selasa.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, kaunter telekomunikasi mendahului kenaikan dalam kalangan saham komponen FBM KLCI, manakala saham pengguna bukan keperluan asas adalah paling terjejas akibat aktiviti jualan ini.

Bagaimanapun, di pasaran yang lebih luas, semua indeks utama ditutup di kawasan negatif, mencerminkan sentimen berhati-hati meskipun terdapat penurunan kadar faedah domestik baru-baru ini, katanya.

Sementara itu, kejayaan Indonesia merundingkan kadar tarif 19 peratus dengan Amerika Syarikat (AS) turut melemahkan sentimen, memandangkan Malaysia masih menunggu kejelasan mengenai status tarifnya yang kini ditetapkan pada 25 peratus.

“Perkembangan ini menyerlahkan pengurangan kelebihan daya saing Malaysia dalam perdagangan serantau, terutamanya berbanding Vietnam dan Indonesia,” katanya.

Mohd Sedek berkata kebimbangan pasaran meningkat berikutan cadangan Presiden AS, Donald Trump, untuk mengenakan tarif ke atas Kesatuan Eropah (EU) dan Mexico, yang menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan tekanan inflasi susulan bacaan indeks harga pengguna (CPI) yang lebih kukuh.

“CPI utama AS meningkat kepada 2.7 peratus tahun ke tahun pada Jun, daripada 2.4 peratus pada Mei, sekali gus mendorong pelabur menilai semula jangkaan terhadap pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan.

“Aliran berita negatif berkaitan tarif yang berterusan, ditambah dengan harapan yang semakin pudar untuk pelonggaran dasar monetari dalam masa terdekat di AS, terus menekan sentimen risiko,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun 12 sen kepada RM9.53, Public Bank susut tiga sen kepada RM4.23, Tenaga Nasional turun 22 sen kepada RM13.68, CIMB berkurang 13 sen kepada RM6.50, manakala IHH Healthcare susut enam sen kepada RM6.52.

Bagi saham aktif, NexG naik satu sen kepada 48.5 sen, Zetrix AI menambah dua sen kepada 95 sen, TWL meningkat setengah sen kepada tiga sen, Green Ocean Corporation turun 1.5 sen kepada 11 sen, dan Tanco susut satu sen kepada 89.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 105.05 mata kepada 11,371.03, Indeks FBMT 100 susut 104.96 mata kepada 11,132.65, dan Indeks FBM Emas Syariah turun 79.23 mata kepada 11,403.95.

Indeks FBM 70 turun 167.01 mata kepada 16,521.39, manakala Indeks FBM ACE susut 5.54 mata kepada 4,582.08.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 258.89 mata kepada 17,243.76, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.76 mata kepada 152.63, dan Indeks Perladangan turun 11.63 mata kepada 7,406.79. Indeks Tenaga pula susut 3.25 mata kepada 735.67.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurang kepada 1.38 bilion unit bernilai RM2.11 bilion daripada 1.44 bilion unit bernilai RM2.07 bilion pada Selasa.

Dagangan waran meningkat kepada 1.49 bilion unit bernilai RM213.66 juta daripada 1.28 bilion unit bernilai RM172.45 juta sebelum ini

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurang kepada 304.96 juta unit bernilai RM112.71 juta, berbanding 347.59 juta unit bernilai RM122.67 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 206.34 juta saham didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (201.02 juta), pembinaan (73.57 juta), teknologi (293.92 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (88.88 juta), dan hartanah (206.53 juta).

Sementara itu, perladangan (12.92 juta), REIT (21.71 juta), dana tertutup (12,600), tenaga (78.45 juta), penjagaan kesihatan (112.27 juta), telekomunikasi dan media (33.65 juta), pengangkutan dan logistik (18.68 juta), utiliti (30.12 juta), dan amanah perniagaan (51,100). - BERNAMA

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI