KUALA LUMPUR, 22 September- UDA Holdings Berhad (UDA), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), hari ini melancarkan kempen hartanah yang menawarkan lebih 800 unit kediaman dengan pelbagai insentif menarik serta hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM250,000.
Kempen tersebut menyasarkan pembeli rumah pertama serta golongan profesional muda di Lembah Klang menerusi empat projek utama, Residensi Akasia Raya, Dedaun Residensi, Residensi 38 Bangsar dan Legasi Kampong Bharu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil berkata, kempen berkenaan bukan sekadar urusan jual beli rumah tetapi berkait rapat dengan aspirasi rakyat untuk memiliki rumah idaman sendiri.
"Ia bukan sekadar mengenai hartanah. Ia tentang impian, keluarga, dan masa depan yang ingin kita bina bersama.
"Kami berharap ini memberi lebih ramai orang peluang untuk berkata, "Inilah rumah saya," katanya ketika merasmikan pelancaran kempen "UDA Signature Dreams"di Residensi 38 Bangsar, ibu negara.
Kempen turut menawarkan insentif seperti deposit rendah, pengecualian bayaran perjanjian jual beli (SPA), pengecualian duti setem, subsidi MOT dan pakej kelengkapan rumah sepanjang Disember depan.
Selain itu, pembeli turut peluang menyaksikan Piala Dunia FIFA 2026 dengan tajaan bernilai RM150,000.
Dalam majlis sama, UDA turut memeterai kerjasama strategik bersama syarikat Nai BNB untuk memperkasakan reka bentuk dalaman unit pameran di Residensi 38 Bangsar.
Johari turut menegaskan komitmen UDA untuk terus membangunkan projek hartanah moden dan berdaya saing serta mampu milik di seluruh negara termasuk di Johor, Pantai Timur, utara dan Sarawak.