fb fb fb fb fb

ASEAN perlu labur dalam teknologi serantau, bukan bergantung FDI semata-mata

Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR, 22 September - ASEAN tidak boleh bergantung semata-mata kepada model pelaburan langsung asing (FDI), sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada pelaburan dalam syarikat teknologi serantau bagi memacu pertumbuhan masa depan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong menegaskan masih terdapat persepsi mengelirukan bahawa teknologi perlu diimport dari luar, sedangkan ASEAN hanya dilihat sebagai pusat pengeluaran.

"Jika lebih banyak pelaburan disalurkan kepada teknologi ASEAN, kita akan melihat syarikat tempatan muncul sebagai multinasional serantau, malah berpotensi menjadi multinasional global," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas penubuhan Majlis Pasaran Swasta ASEAN (APMC) di ibu negara hari ini.

ASEAN perlu menghubungkan dana, teknologi dan dasar perindustrian bagi mewujudkan pasaran lebih kukuh di rantau ini.

Penubuhan APMC dilihat mampu membuka potensi pelaburan serantau, khususnya dalam sektor teknologi, selain menyokong agenda pembangunan bersama di ASEAN.

Langkah itu juga dijangka mempercepat peralihan hijau rantau tersebut melalui pembangunan teknologi baharu, inovasi serta pelaburan dalam grid kuasa ASEAN.

Usaha berkenaan penting bagi memastikan tenaga diagihkan secara menyeluruh, sekali gus membolehkan pertumbuhan seimbang dan membantu negara kurang membangun mencapai kemajuan dalam tempoh lima hingga 15 tahun akan datang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI