fb fb fb fb fb

ASEAN teliti 18 agenda ekonomi, Malaysia yakin capai sasaran

Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Mastura Ahmad Mustafa

KUALA LUMPUR, 22 September - Mesyuarat Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN (SEOM) hari ini meneliti pelaksanaan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (Priority Economic Deliverables, PED) tahun ini yang merangkumi aspek integrasi serantau, keterangkuman, kemampanan dan perdagangan digital.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Mastura Ahmad Mustafa berkata, mesyuarat itu menjadi persediaan penting sebelum pertemuan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN esok.

“Pagi tadi kita adakan mesyuarat persediaan SEOM, meneliti agenda yang akan dibawa ke peringkat menteri. Pegawai perlu memastikan perbincangan berjalan lancar esok,” katanya ketika ditemui media.

Daripada 18 keberhasilan utama ditetapkan Malaysia tahun ini, setakat ini satu telah dilaksanakan sepenuhnya manakala lapan lagi hampir selesai.

“Kita yakin daripada 18 itu, 15 akan berjaya diselesaikan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini. Baki tiga lagi dijangka siap menjelang hujung tahun,” jelasnya.

Antara inisiatif utama yang menjadi tumpuan termasuk pemuktamadan Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA Upgrade) serta Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India (AIFTA Upgrade) yang dijadual ditandatangani ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Mengulas mengenai pandangan negara anggota lain, Mastura menegaskan semua negara ASEAN setakat ini sehaluan tanpa isu besar.

“Hari ini hanya pertemuan dalam kalangan ASEAN sahaja, belum bersama rakan dialog. Jadi setakat ini, tiada isu besar kerana kita sehaluan,” katanya.

Mesyuarat SEOM tersebut akan menjadi asas kepada perbincangan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN bagi menentukan hala tuju ekonomi serantau dalam menghadapi cabaran global semasa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE