fb fb fb fb fb

Zelenskiy tekad henti kemaraan Rusia, pertahan Pokrovsk dan Kupiansk

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy/REUTERS

KIEV, 1 November- Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy pada Jumaat berjanji akan menghentikan serangan Rusia di seluruh Ukraine, termasuk asakan di Pokrovsk dan Kupiansk.

"Rusia mahu menukar seluruh negara kita menjadi apa yang mereka lakukan di Pokrovsk, di Kupiansk, dan di bandar serta komuniti kita yang lain. Kita mesti menghentikan mereka di tempat mereka datang dan memusnahkan mereka di sana," katanya dalam satu kenyataan video yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Akhbar Presiden Ukraine.

Panglima tentera tertinggi Ukraine pada Khamis berkata Ukraine sedang menggiatkan usaha untuk mempertahankan hab strategik Pokrovsk, bertujuan untuk menjamin laluan bekalan dan pemindahan serta membanteras askar infantri Rusia yang menyusup masuk ke bandar tersebut.

Tentera Rusia telah mara perlahan-lahan menuju ke Pokrovsk di wilayah Donetsk timur Ukraine selama lebih dari setahun.

Penganalisis tentera Ukraine, Oleksandr Kovalenko berkata penguasaan Pokrovsk boleh membolehkan kemaraan ke wilayah Donetsk, yang disasarkan Rusia untuk diduduki sepenuhnya, dan juga ke wilayah jiran, Dnipropetrovsk. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM