BEIJING, 29 November – China mewajibkan semua platform media sosial menapis kandungan supaya tidak menghantar bahan yang dianggap subversif, lucah, ganas atau berbahaya kepada pengguna.
Presiden China, Xi Jinping, menegaskan kerajaan akan bertindak tegas terhadap salah laku dalam talian dan memastikan ruang siber negara itu kekal “bersih”
Pada September lalu, pengawal selia internet China mengambil tindakan terhadap beberapa syarikat termasuk Jinri Toutiao milik ByteDance dan UCWeb milik Alibaba kerana menyiarkan kandungan yang dianggap berbahaya.
Platform popular seperti Weibo, Kuaishou dan Xiaohongshu turut dikenakan penalti kerana gagal mengurus kandungan pengguna.
Pada masa sama, Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) melancarkan kempen dua bulan bagi membanteras kandungan yang mencetuskan konflik, mempromosikan keganasan dan menyebarkan trend negatif.
Xi berkata salah laku dalam talian merosakkan nilai masyarakat.
Presiden itu menegaskan kerajaan perlu berani bertindak, memutuskan rantaian keuntungan dan menghapuskan punca masalah.
Beliau menambah mengawal ekosistem internet adalah tugas penting bagi membina China sebagai kuasa siber, kerana ia melibatkan keselamatan negara dan kepentingan rakyat. - AFP