GENEVA, 8 November - Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menzahirkan ucapan takziah kepada 'Doctors Without Borders (MSF)' selepas badan bukan kerajaan (NGO) itu mengumumkan kematian ahli pasukan dalam serangan udara tentera Israel di Gaza.
Tedros Ghebreyesus berkata bahawa WHO sedang berkabung atas kehilangan itu.
Menurut laporan portal Al Jazeera, MSF telah mengumumkan bahawa salah seorang pasukannya di Gaza dan beberapa ahli keluarganya terbunuh dalam serangan udara Israel yang melanda rumah mereka di kem al-Shati di tengah Gaza.
Mohammed Al Ahel telah bekerja sebagai juruteknik makmal untuk MSF selama lebih daripada dua tahun.
“Dalam detik tragis ini, kami terus prihatin terhadap semua rakan sekerja kami di Gaza, yang kebanyakannya masih bekerja di hospital di seluruh Semenanjung untuk menyediakan penjagaan yang menyelamatkan nyawa. Kami mengulangi gesaan kami untuk gencatan senjata segera dan tanpa syarat,” kata MSF dalam satu kenyataan.
“Adalah jelas bahawa tiada tempat di Gaza yang selamat daripada pengeboman yang kejam dan sewenang-wenangnya.” - Agensi