GENEVA, 25 Disember- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengetuai misi bantuan kesihatan ke hospital Al-Shifa yang hampir tidak berfungsi di utara Gaza. Ramai penduduk Gaza turut kelaparan berikutan sekatan bantuan makanan oleh rejim zionis.
Agensi kesihatan PBB menyampaikan bantuan termasuk bahan api kepada hospital Al-Shifa yang musnah. Ia pernah menjadi kemudahan perubatan terbesar dan tercanggih di Gaza, kata ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu hantaran di X.
"Banyak negara menuntut kemasukan segera bantuan makanan dan air untuk memastikan kesihatan dan kestabilan penduduk Gaza," kata Tedros.
Di Al-Shifa, Tedros memberi amaran bahawa "permusuhan yang tidak henti-henti akan menyebabkan lebih banyak nyawa terkorban."
Beliau menyuarakan harapan bahawa penghantaran 19,200 liter bahan api penjana pada Sabtu akan membantu memulihkan perkhidmatan penting di hospital. Ketika hospital hanya boleh memberikan "pertolongan cemas paling asas".
Tetapi, dia menegaskan, "lebih banyak bantuan kemudahan diperlukan".
Kemudahan itu mengalami kerosakan ketara dan menyaksikan tangki oksigennya musnah. Selain itu tempat perlindungan kepada kira-kira 50,000 penduduk turut hancur, menurut pihak berkuasa hospital.
Sean Casey, penyelaras Pasukan Perubatan Kecemasan WHO yang berada dalam misi itu, menggambarkan wad pembedahan tidak mampu menampung pesakit yang cedera parah berikutan serangan kejam oleh Israel.
Pada masa sama, "semua pesakit kekurangan bekalan makanan dan mereka kelaparan," kata Casey dalam rakaman video di Al-Shifa.
"Keadaan yang terdesak menyebabkan trak yang menghantar makanan terus mendapatkan makanan di situ," kata Tedros.
Ketua WHO memberi amaran bahawa situasi teruk di Al-Shifa turut menyebabkan kekurangan drastik bekalan ubat-ubatan, makanan, elektrik, air dan turut membahayakan kesihatan penduduk".- AFP