fb fb fb fb fb

Virus Nipah: India kenakan sekatan selepas dua kematian

(Pesakit yang meninggal dunia akibat jangkitan virus Nipah di sebuah hospital swasta
di Kozikode, Kerala, India pada Selasa lalu/ AFP)

NEW DELHI, 14 September- India melarang perhimpunan awam dan menutup beberapa sekolah di negeri selatan Kerala selepas dua orang meninggal dunia akibat Nipah, virus bawaan daripada kelawar atau babi yang menyebabkan 'demam maut', kata pegawai kesihatan hari ini.

Tiga lagi telah diuji positif, dan lebih 700 orang termasuk 153 pekerja kesihatan yang bersentuhan dengan pesakit sedang dalam pemerhatian.

Virus Nipah tidak mempunyai vaksin dan kadar kematian antara 40 hingga 75 peratus, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Gejala virus itu adalah demam teruk, muntah dan jangkitan pernafasan, namun kes yang serius boleh melibatkan sawan dan ensefalitis, keradangan otak, serta mengakibatkan koma.

Tempoh inkubasi -- masa daripada jangkitan hingga timbulnya gejala -- berkisar antara empat hingga 14 hari, tetapi telah dilaporkan selama 45 hari, menurut WHO.

Pada 2018, sekurang-kurangnya 17 orang meninggal dunia selepas dijangkiti virus itu di Kerala.

Virus Nipah mula dikenal pasti pada 1998 selepas ia merebak dalam kalangan penternak babi di Malaysia, manakala kes pertama di India dilaporkan pada 2001 di negeri Bengal Barat.

WHO menyenaraikan Nipah sebagai salah satu penyakit "keutamaan" yang menimbulkan risiko kesihatan awam paling besar disebabkan potensi wabaknya, selain "tidak ada tindakan pencegahan yang memadai" -AFP

(FOTO AFP)

Media Baharu