GAZA, 2 Disember- Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) telah menghentikan penghantaran bantuan melalui laluan utama Kerem Shalom antara Israel dan Gaza atas faktor keselamatan, kata Ketua UNRWA Philippe Lazzarini.
"Jalan keluar dari laluan ini tidak selamat sejak berbulan-bulan lalu. Pada 16 November, konvoi besar trak bantuan telah dicuri oleh kumpulan bersenjata. Semalam, kami cuba menghantar beberapa trak makanan melalui laluan yang sama", katanya menerusi platform X.
Beliau turut memberi amaran bahawa Gaza berada di ambang kebuluran.
"Operasi kemanusiaan sudah menjadi semakin mustahil untuk dilaksanakan", katanya.
Jumaat lalu, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkata Gaza dalam keadaan huru-hara, kebuluran meningkat dan kecurian berleluasa, apabila ketenteraman awam musnah.
Israel yang mengepung wilayah yang dikuasai Hamas selepas serangan Hamas tahun lalu, mendakwa bahawa organisasi bantuan tidak boleh mengagihkan sejumlah besar bantuan.
"Hanya 7 peratus daripada bantuan yang masuk ke Gaza pada November telah diselaraskan oleh UNRWA," kata agensi Kementerian Pertahanan Israel yang bertanggungjawab atas urusan awam di wilayah Palestin, COGAT, menerusi platform X.
"Terdapat puluhan organisasi kemanusiaan yang beroperasi di Gaza memainkan peranan penting dalam penghantaran bantuan kemanusiaan," tambahnya.
Semasa lawatan media pada hari Khamis, tentera Israel menunjukkan penghantaran bantuan di laluan tersebut dan berkata bahawa ia telah menunggu di laluan Gaza Kerem Shalom selama berbulan-bulan.
Berkenaan gencatan senjata, Lazzarini berkata Israel perlu mengelakkan daripada menyerang pekerja bantuan kemanusiaan.
Gesaan itu, susulan serangan Israel pada Sabtu yang mengakibatkan kematian tiga petugas dari badan amal Amerika Syarikat (AS), World Central Kitchen.
Manakala, organisasi Save the Children memaklumkan serangan tersebut membunuh salah seorang kakitangan mereka, yang merupakan pekerja kedua yang terbunuh sejak perang bermula pada Oktober lalu.
Lazzarini mengulangi seruannya untuk gencatan senjata bagi memastikan penghantaran bantuan yang selamat dan tidak terganggu untuk golongan yang memerlukan.- AFP