BAITULMAQDIS, 9 Disember - Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengecam tindakan pihak berkuasa Israel merampas aset daripada perkarangan agensi itu di Baitulmaqdis Timur.
"Pada awal pagi Isnin, polis Israel bersama pegawai majlis perbandaran menceroboh kompaun UNRWA di Baitulmaqdis Timur secara paksa," kata Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini menerusi platform X.
Menurut beliau, rejim Zionis merampas perabot, peralatan IT dan harta benda lain dengan menggunakan lori dan forklift serta menggantikan bendera Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang berkibar di perkarangan UNRWA dengan bendera Israel.
Beliau sebelum ini diisytiharkan 'persona non grata' oleh pihak berkuasa rejim yang melarang UNRWA beroperasi di Israel pada awal tahun ini.
Polis Israel mendakwa kononnya rampasan tersebut sebagai sebahagian daripada prosedur kutipan hutang yang berkaitan dengan 'Arnona', iaitu cukai kediaman Israel bagi menampung perkhidmatan majlis perbandaran.
Namun, Pengarah UNRWA bagi Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, Roland Friedrich tidak bersetuju dengan perkara itu.
"Tidak ada hutang kerana sebagai sebuah agensi PBB, UNRWA tidak diwajibkan membayar apa-apa jenis cukai seumpama itu bawah undang-undang antarabangsa dan juga undang-undang yang telah diterima pakai oleh Israel sendiri," katanya.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres turut mengeluarkan kenyataan mengecam keras pencerobohan tanpa kebenaran oleh pihak berkuasa Israel dalam kompaun di Baitulmaqdis Timur itu.
"Kompaun ini kekal sebagai premis PBB dan tidak boleh dicabuli atau diganggu dalam apa jua bentuk," katanya sambil menggesa Israel mengambil langkah segera yang perlu untuk memulihkan, memelihara dan menjamin kekebalan premis UNRWA serta menghentikan sebarang tindakan lanjut.
Kementerian luar Jordan turut mengecam tindakan tersebut yang disifatkan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta pencabulan terhadap kekebalan dan keistimewaan yang diberikan kepada organisasi PBB.
Bawah Konvensyen 1946, PBB dan asetnya tidak boleh dikenakan cukai oleh negara tuan rumah. -AFP