NEW YORK, 8 Disember -Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) terpaksa mengurangkan rayuan bantuan kemanusiaannya untuk tahun 2026 kepada AS$23 bilion.
Jumlah itu hampir separuh daripada yang diminta tahun ini, selepas dana global menjunam ke paras terendah dalam sedekad.
Menurut Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Tom Fletcher, pemotongan dana memaksa agensi kemanusiaan membuat keputusan “kejam dan sukar” dalam menentukan siapa yang akan menerima bantuan.
Fletcher menjelaskan, bahawa pelan 2026 hanya mampu memberi tumpuan kepada 87 juta orang paling kritikal, walaupun sekitar 250 juta manusia memerlukan bantuan segera.
“Apa yang kami perlukan untuk menyelamatkan 87 juta nyawa tahun depan ialah sokongan keselamatan, usaha damai yang agresif dan AS$23 bilion.
Dunia belanja AS$2.7 trilion untuk pertahanan tahun lalu. Kami hanya meminta lebih 1% daripada itu.”
Fletcher berkata kejatuhan mendadak sumbangan, termasuk pemotongan besar oleh pentadbiran Presiden Donald Trump serta negara penderma utama lain seperti Jerman telah menjejaskan seluruh operasi bantuan dunia.
Sehingga November, PBB hanya menerima AS$12 bilion, suku daripada jumlah keperluan dan yang terendah dalam tempoh 10 tahun.
Beliau turut mendedahkan banyak program penting terjejas.
“Program melindungi wanita dan kanak-kanak perempuan dipotong. Ratusan organisasi terpaksa tutup.
Lebih 380 petugas bantuan terbunuh, angka tertinggi pernah direkodkan.”
Fletcher menggambarkan, situasi semasa sebagai krisis kemanusiaan dunia yang paling parah.
“Kami terlalu terbeban, kekurangan dana dan diserang. Kami memandu ambulans menuju kebakaran, tetapi kini diminta memadamkannya juga sedangkan air dalam tangki tidak mencukupi.” -REUTERS