fb fb fb fb fb

Ukraine tawar rundingan damai baharu kepada Rusia minggu depan

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy/Reuters

KIEV, 20 Julai- Ukraine telah menghantar tawaran kepada Moscow untuk mengadakan satu lagi pusingan rundingan damai pada minggu depan.

Menurut Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, langkah itu dilaksana untuk mempercepat usaha mencapai gencatan senjata.

Sebelum ini, dua pusingan rundingan telah diadakan antara Ukraine dan Rusia di Istanbul dalam tempoh lima bulan lalu, dengan hasil utama hanyalah pertukaran tahanan antara kedua-dua pihak, setakat ini.

Selain itu, tiada sebarang kemajuan ketara ke arah penamatan konflik yang telah berlarutan hampir tiga setengah tahun sejak pencerobohan Rusia pada 2022.

“Segala usaha perlu digerakkan untuk mencapai gencatan senjata. Pihak Rusia tidak seharusnya terus bersembunyi daripada membuat keputusan,” kata Zelenskyy dalam perutusan hariannya kepada rakyat Ukraine.

Presiden itu turut memaklumkan bahawa Rustem Umerov, ketua delegasi Ukraine dalam kedua-dua rundingan di Istanbul, telah menghantar tawaran rasmi kepada pihak Rusia untuk mengadakan pertemuan minggu depan, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenainya.

Umerov, bekas Menteri Pertahanan, telah dilantik minggu lalu sebagai Ketua Majlis Keselamatan dan Pertahanan Negara Ukraine dengan mandat untuk mempergiatkan semula proses rundingan damai.

Sementara itu, tentera Rusia terus melancarkan serangan besar-besaran di bahagian timur Ukraine, khususnya di wilayah Donetsk.

Walaupun Moscow telah beberapa kali menyatakan kesediaan untuk mengadakan rundingan baharu, ia masih berpegang pada tuntutan peperangan yang dilihat oleh Kiev dan sekutunya sebagai bersifat melampau. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM