fb fb fb fb fb

Ukraine perlu menang perang lawan Rusia sebelum musim sejuk

(Penduduk tempatan membantu anggota bomba memadamkan kebakaran di halaman
sebuah rumah di bandar Bakhmut berikutan serangan udara di Ukraine/ AFP)

KIEV, 20 Julai- Ukraine perlu menang dalam perang dengan Rusia sebelum musim sejuk bagi mengelak musuhnya itu menapak di negara itu untuk jangka panjang, kata ketua turus presiden Ukraine, Andriy Yermak.

"Amat penting perang tidak berlanjutan hingga musim sejuk kerana Rusia akan lebih mengukuh dan situasi akan bertambah sukar. Penting untuk kita tidak memberi kemungkinan itu," katanya kepada akhbar Ukraine, Novoye Vremya.

Beliau mengulas pendirian Kiev bahawa sekutu Barat perlu membekalkan lebih banyak senjata kepada Ukraine, dan bergantung kepada Amerika Syarikat (AS) yang berikrar memberi bantuan berbilion dolar dalam bentuk senjata dan sokongan ekonomi.

Pakej Akta Pajakan Pinjaman Pertahanan Demokrasi Ukraine yang ditandatangani pada Mei lalu oleh Presiden AS, Joe Biden untuk mempercepat bantuan itu, dijangka berkuat kuasa sepenuhnya bermula bulan depan.

"Objektif kami adalah menang," kata Yermak.


(Ketua Turus Presiden Ukraine, Andriy Yermak/ REUTERS)

Menurut Yermak, rundingan yang sedang berjalan dengan Rusia berkisar pada bagaimana kaedah mengeksport bijirin Ukraine dari pelabuhan yang dikepung, dan tidak menyentuh usaha menamatkan konflik pencerobohan Russia sejak Februari lalu.

"Rundingan ini berjalan di peringkat ketenteraan dan kementerian luar dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Saya berurusan dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. Saya tidak berkomunikasi dengan pihak Rusia," tegasnya. - AFP

Media Baharu