fb fb fb fb fb

Uganda isytihar wabak Ebola, catat kematian pertama

(Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Uganda, Diana Atwine/AFP)

KAMPALA, 19 September-  Kementerian Kesihatan Uganda serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini mengisytiharkan tercetus wabak Ebola dengan satu kematian disahkan akibat virus itu membabitkan strain Sudan yang agak jarang berlaku.

Seorang pemuda berusia 24 tahun menunjukkan gejala penyakit berkenaan sebelum meninggal dunia di daerah Mubende.

"Kami ingin memaklumkan bahawa tercetus wabak Ebola yang disahkan, semalam," kata Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Uganda, Diana Atwine, pada sidang media.

Beliau berkata, pesakit kes disahkan itu mengalami demam pada suhu tinggi, cirit-birit dan sakit perut serta muntah darah. Pada mulanya, lelaki itu diberikan rawatan untuk penyakit malaria.

Pejabat Afrika WHO dalam satu kenyataan pula memaklumkan ketika ini, terdapat lapan kes disyaki sedang menerima rawatan di sebuah fasiliti kesihatan,

Menurutnya, ia sedang membantu pihak berkuasa Uganda melakukan siasatan berkaitan, sekali gus menempatkan petugas di kawasan terbabit.

"Uganda memang tidak asing lagi dengan keupayaan mengawal Ebola secara berkesan. Atas kepakarannya, tindakan pantas diambil bagi mengesan virus itu dan kita boleh menggunakan pengetahuan ini untuk menghentikan penularannya," kata Pengarah Rantau Afrika WHO, Matshidiso Moeti.

Sebelum ini, WHO berkata, terdapat tujuh wabak Ebola strain Sudan membabitkan empat di Uganda dan tiga di Sudan.

(Sidang media Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Uganda, Diana Atwine/AFP)

Katanya, kali terakhir Uganda melaporkan wabak Ebola strain Sudan ialah pada 2012, diikuti penularan strain Zaire pada 2019.

WHO berkata, pemberian vaksin Ervebo kepada golongan berisiko tinggi berjaya menunjukkan keberkesanan tinggi dalam mengawal penularan wabak Ebola yang tercetus di Congo, baru-baru ini serta tempat lain, namun imunisasi itu hanya diluluskan untuk memberi perlindungan terhadap strain Zaire.

Menurutnya, satu vaksin lain yang dihasilkan oleh Johnson & Johnson berkemungkinan berkesan tetapi masih belum diuji secara khusus terhadap strain Sudan. -REUTERS

Media Baharu