DUBAI, 13 September - Emiriah Arab Bersatu (UAE) memanggil Timbalan Duta Israel, David Ohad Horsandi bagi mengecam tindakan rejim Zionis menyerang pemimpin Hamas di Qatar.
Kecaman dan kritikan dilemparkan kepada wakil negara haram itu dalam satu pertemuan dengan Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa, Reem Bint Ebrahim.
Dalam pertemuan itu Reem mengutuk sekeras-kerasnya tindakan diluar batasan Israel selain menyifatkan negara pimpinan Benjamin Netanyahu itu sebagai pengecut.
Tegas beliau, sebarang pencerobohan terhadap negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) adalah serangan terhadap rangka kerja keselamatan Teluk secara kolektif.
Amaran tersebut dikeluarkan menjelang Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha bermula esok bagi membincangkan tindak balas serantau terhadap serangan itu. - AFP