fb fb fb fb fb

Turkiye sedia bantu gencatan senjata kekal di Gaza

Foto Reuters

ANKARA, 27 November- Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyatakan pada Rabu bahawa Turkiye bersedia memberi sebarang sokongan untuk mewujudkan gencatan senjata kekal di Gaza.

Erdogan turut menyatakan kepuasan terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa di Lubnan, baru-baru ini.

Turkiye yang secara tegas mengkritik serangan Israel di Gaza dan Lubnan, sebelum ini telah berbincang mengenai kemungkinan gencatan senjata itu bersama kumpulan pejuang Palestin, Hamas dan memberi saranan tentang cara meneruskan perundingan tersebut.

Pada Selasa, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menyatakan bahawa AS akan terus mendesak gencatan senjata yang "sukar" dicapai di Gaza bersama dengan Turkiye, Mesir, Qatar dan pihak-pihak lain.

"Kami menyatakan kesediaan untuk memberikan sumbangan dalam menghentikan pembunuhan di Gaza dan mencapai gencatan senjata yang kekal," kata Erdogan kepada ahli parti AK yang memerintah di parlimen.

Walaupun Ankara sering bertukar kecaman dengan Israel sejak tercetusnya perang Gaza, Turkiye tidak secara rasmi memutuskan hubungan dengan Israel.

Serangan terbaharu rejim zionis itu ke atas sebuah sekolah pelarian di Gaza mengakibatkan 15 nyawa terkorban.

Menurut laporan, dua anak lelaki kepada bekas jurucakap Hamas adalah korban serangan.

Kementerian Kesihatan Gaza dalam kenyataan pada Rabu berkata lebih daripada 44,282 rakyat Palestin telah terkorban dan 104,880 cedera dalam serangan tentera Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM