fb fb fb fb fb

Trump ugut usir Elon Musk susulan perselisihan berterusan

Trump-Musk saling berbalas kritikan - AFP

WASHINGTON, 2 Julai – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Selasa menggesa White House meneliti kemungkinan mengusir Elon Musk, susulan kritikan berterusan usahawan bilionair itu terhadap rang undang-undang cukai dan perbelanjaannya.

Menurut laporan Xinhua, Musk yang berasal dari Afrika Selatan dan kini warganegara AS, memuat naik beberapa hantaran hujung minggu lalu yang mengecam rang undang-undang yang digelar Trump sebagai “big, beautiful bill.”

Musk mengkritik rang undang-undang itu kerana didakwanya meningkatkan hutang negara. Trump membalas di media sosial dengan mendakwa Musk marah kerana insentif cukai bagi kenderaan elektrik turut dimansuhkan dalam rang undang-undang tersebut.

Pertelingkahan tersebut menjadi episod terbaharu dalam perselisihan terbuka antara dua tokoh berpengaruh itu.

Rang undang-undang yang diluluskan Senat pada Selasa memperuntukkan perbelanjaan besar dalam bidang pertahanan, pengeluaran tenaga dan keselamatan sempadan.

Trump turut memberi bayangan bahawa Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), sebuah agensi yang ditubuhkan dengan bantuan Musk, mungkin digunakan untuk menyiasat syarikat milik Musk. Trump mendakwa bahawa Musk adalah penerima subsidi kerajaan terbesar dalam sejarah.

Beliau juga mengugut untuk menamatkan subsidi kerajaan yang memberi manfaat kepada perniagaan Musk, termasuk syarikat kenderaan elektrik dan tenaga bersih.

Sementara itu, Musk memberi amaran akan menghukum ahli parlimen Republikan yang menyokong rang undang-undang Trump. Menurut pakar politik, langkah Musk mungkin termasuk membiayai pencabar dalam pilihan raya peringkat awal atau menyokong calon bebas.

Profesor Christopher Galdieri dari Kolej Saint Anselm, New Hampshire menjelaskan bahawa tindakan Musk berpotensi mengubah dinamik politik dalam kalangan Republikan.

Clay Ramsay, penyelidik di Universiti Maryland, turut memaklumkan bahawa hubungan Trump dan Musk melalui beberapa fasa bermula dengan sumbangan kempen, kerjasama menubuhkan DOGE dan kemerosotan reputasi DOGE yang menjejaskan jualan Tesla, sehingga kini beralih kepada penentangan terbuka terhadap dasar Trump.

Menurut Ramsay, pertembungan berkenaan juga berkait rapat dengan kebimbangan Musk terhadap kehilangan subsidi tenaga bersih serta penolakannya terhadap peningkatan hutang kerajaan. - BERNAMA-XINHUA

TUN JULIA MOHD TAHIR