WASHINGTON, 11 Julai - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan bahawa AS akan mengenakan tarif sebanyak 35% ke atas barangan import dari Kanada bermula 1 Ogos.
Kadar berkenaan meningkat daripada kadar sedia ada iaitu 25%.
Trump memberi amaran bahawa tarif itu boleh dinaikkan lagi sekiranya Kanada bertindak balas.
Trump juga bercadang untuk mengenakan tarif menyeluruh antara 15% hingga 20% ke atas kebanyakan rakan dagang lain.
Dalam wawancara bersama NBC News, beliau berkata bahawa tidak semua negara perlu menerima surat rasmi kerana AS hanya akan menetapkan tarif mengikut keperluan.
Surat Trump kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, menyebut beberapa isu, termasuk aliran dadah fentanyl dari Kanada dan halangan perdagangan yang dikatakan merugikan petani tenusu AS.
Trump menyifatkan defisit dagangan antara AS dan Kanada sebagai ancaman kepada keselamatan negara. Beliau turut menulis bahawa jika Kanada membantu menghentikan aliran fentanyl, kandungan surat itu mungkin akan disemak semula.
Seorang pegawai pentadbiran AS berkata bahawa pengecualian untuk barangan di bawah Perjanjian Perdagangan AS-Mexico-Kanada (USMCA) masih dikekalkan.
Tarif 10% sedia ada ke atas sektor tenaga dan baja juga tidak berubah setakat ini, namun keputusan akhir masih belum dibuat oleh Trump.
Perdana Menteri Carney belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.
Beliau sebelum ini menyatakan hasrat untuk memuktamadkan perjanjian baharu dengan AS menjelang 21 Julai.
Kerajaan Kanada juga baru-baru ini membatalkan cukai perkhidmatan digital yang dirancang ke atas syarikat teknologi AS selepas Trump membatalkan rundingan perdagangan secara tiba-tiba.
Kanada ialah rakan dagang kedua terbesar AS selepas Mexico, dan juga pembeli terbesar barangan AS. Pada tahun lepas, Kanada membeli barangan AS bernilai AS$349.4 bilion dan mengeksport AS$412.7 bilion ke AS.
Trump juga memperluaskan perang perdagangannya ke negara lain, termasuk sekutu seperti Jepun dan Korea Selatan, serta mengenakan tarif 50% ke atas tembaga.
Katanya, negara-negara lain yang belum menerima surat turut akan dikenakan tarif, sama ada 15% atau 20%, bergantung pada keputusan semasa. -REUTERS