fb fb fb fb fb

Kemajuan sederhana dalam rundingan gencatan senjata Israel-Hamas

Bantuan kemanusiaan digugurkan ke Gaza dari sebuah pesawat, di tengah-tengah konflik yang berterusan antara Israel dan kumpulan Hamas./Foto REUTERS

DOHA, 11 Julai -Rundingan baharu gencatan senjata Gaza di Doha pada Khamis menunjukkan sedikit kemajuan, apabila kedua-dua pihak, Israel dan Hamas dilaporkan menunjukkan beberapa kelonggaran dalam perbincangan yang berlangsung secara perlahan tetapi positif.

Seorang pegawai kanan Israel memaklumkan bahawa rundingan itu masih sukar serta kompleks, dan dijangka mengambil masa satu hingga dua minggu untuk mencapai persetujuan.

Sekiranya kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan gencatan senjata selama 60 hari, rundingan untuk gencatan senjata kekal boleh diteruskan dalam tempoh tersebut.

Dalam perbincangan tersebut, Hamas bersetuju untuk membebaskan 10 tebusan Israel dalam dua kumpulan, serta menyerahkan mayat 18 orang lagi sebagai pertukaran kepada pembebasan beberapa tahanan Palestin oleh Israel.

Bilangan dan nama tahanan Palestin itu akan ditentukan dalam rundingan susulan, termasuk mereka yang menjalani hukuman penjara seumur hidup atau jangka panjang.

Kedua-dua pihak turut mencapai kesepakatan berkaitan bantuan kemanusiaan.

Selain Dana Kemanusiaan Gaza yang disokong AS dan Israel, pertubuhan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dibenarkan menyambung semula pengagihan bantuan di Gaza.

Sementara itu, para pengantara seperti AS dan Qatar sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap kehadiran ketenteraan Israel yang berterusan di Koridor Morag, Koridor Philadelphia, dan Rafah di selatan Gaza.

Namun begitu, kenyataan berasingan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Hamas menunjukkan masih terdapat perbezaan besar antara kedua-dua pihak.

Netanyahu, yang kini berada di AS, menyatakan bahawa Israel hanya akan mempertimbangkan gencatan senjata kekal jika Hamas melucutkan senjata.

Hamas pula mengecam kenyataan Netanyahu sehari sebelum itu yang menyatakan gencatan senjata menyeluruh "tidak mungkin" dicapai buat masa ini.

Hamas menuduh Israel menolak cadangan komprehensif mereka, serta bersikap mengelak dan sengaja mencetuskan halangan dalam rundingan berkenaan. -REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD