fb fb fb fb fb

Trump tandatangan proklamasi, sekat kemasukan pelajar asing ke Harvard

Foto REUTERS

MASSACHUSETTS, 5 Jun- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menandatangani satu proklamasi bagi menggantung kemasukan warga asing ke negara itu yang ingin menyambung pengajian atau menyertai program pertukaran di Universiti Harvard.

White House dalam satu kenyataan memaklumkan, arahan itu dikeluarkan susulan pertikaian berterusan antara pentadbiran Trump dan institusi pengajian tinggi berprestij itu.

Proklamasi berkenaan turut mengarahkan Jabatan Negara AS untuk mempertimbangkan pembatalan visa akademik sedia ada bagi pelajar antarabangsa di Harvard yang memenuhi kriteria tertentu seperti dinyatakan dalam arahan tersebut.

Bulan lalu, Washington dilaporkan telah mengarahkan semua misi konsular di luar negara supaya mengetatkan saringan permohonan visa ke Harvard atas sebarang tujuan.

Menurut pentadbiran Trump, langkah itu diambil kerana Harvard didakwa mempunyai kaitan luar yang mencurigakan serta gagal menangani isu keselamatan dan disiplin melibatkan pelajar asing.

Laporan itu turut mendakwa universiti berkenaan menerima lebih AS$150 juta dari China dan segelintir pelajar asing dikenal pasti terlibat dalam insiden "antisemitik" di kampus.

Pentadbiran Trump sebelum ini mengambil beberapa langkah terhadap Harvard termasuk membekukan dana geran, membatalkan status pengecualian cukai dan membuka siasatan berhubung dakwaan diskriminasi terhadap kumpulan tertentu.

Arahan untuk membatalkan kelayakan Harvard menerima pelajar asing bagaimanapun telah disekat oleh mahkamah persekutuan bulan lalu.- REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM