fb fb fb fb fb

Trump sekat perjalanan 12 negara, kenakan larangan separa kepada 7 negara lain

Foto AFP

WASHINGTON, 5 Jun - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menandatangani larangan perjalanan yang menyasarkan 12 negara, semalam.

Dalam satu rakaman video dari pejabatnya yang dimuat naik di X beliau berkata, keputusan itu didorong oleh insiden serangan terhadap protes Yahudi di Colorado, Ahad lalu.

"Serangan di Boulder, Colorado, baru-baru ini, menunjukkan ancaman bahaya ekstrem terhadap negara kita dengan kemasukan warga asing yang tidak disaring dengan betul. Kita tidak inginkan mereka," kata Trump.

Selain itu, Trump turut mengenakan larangan separa terhadap pengembara dari tujuh negara lagi membabitkan Burundi, Cuba, Laos, Sierra Leone, Togo, Turkmenistan dan Venezuela.

White House memaklumkan bahawa kedua-dua larangan baharu itu akan berkuat kuasa mulai 9 Jun.

Larangan itu yang sangat menyerupai langkah seumpama diambilnya ketika kali pertama memegang jawatan Presiden sebelum ini.

Ketika itu warga Afghanistan, Myanmar, Chad, Republik Congo, Equatorial Guinea, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Somalia, Sudan serta Yaman disasarkan.

Trump turut membandingkan tindakan terkini itu dengan larangan tersebut yang sasaran kebanyakan adalah negara Islam.

Beliau mendakwa, ia berjaya mengelak AS daripada mengalami serangan sebagaimana berlaku di Eropah.

"Kita tidak boleh terbuka kepada migrasi dari mana-mana negara yang kita tidak dapat saring serta periksa dengan selamat dan boleh dipercayai. Itulah sebabnya pada hari ini (semalam), saya menandatangani satu perintah eksekutif baharu." tambah Trump lagi.

Susulan insiden serangan itu juga, pentadbiran Trump berikrar untuk memburu mereka didakwa sebagai 'pengganas' yang tinggal di AS dengan menggunakan visa.

Dalam kejadian di Colorado, suspek dikenali sebagai Mohammed Sabry Soliman didakwa melontar bom api dan menyembur petrol terbakar ke arah sekumpulan individu yang berhimpun untuk menyuarakan sokongan kepada tebusan Israel yang berada dalam tawanan Hamas.

Pegawai Keselamatan Dalam Negeri AS berkata, Soliman berada di negara ini secara haram kerana tinggal melebihi masa visa pelancong, namun lelaki itu sudah memohon suaka pada September 2022. - AFP

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM