fb fb fb fb fb

Trump cedera ditembak ketika kempen pilihan raya

Donald Trump dilihat berlumuran darah pada wajahnya yang dikelilingi ejen perkhidmatan rahsia ketika beliau dibawa keluar dari pentas ketika berkempen di Butler Farm Show Inc. di Butler, Pennsylvania/Foto AFP

AMERIKA SYARIKAT, 17 Julai - Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) menyelamatkan bekas presiden negara itu, Donald Trump dalam satu kejadian di Butler, Pennsylvania.

Beliau ketika itu sedang memberikan ucapan dalam kempen untuk bertanding merebut jawatan itu semula dalam pilihan raya akan datang dan menentang Joe Biden.

Ketika di atas pentas kedengaran beberapa bunyi das tembakan dan Perkhidmatan Rahsia AS meluru kepada Trump sebelum merebahkan pemimpin itu ke bawah.

Trump adalah seorang ahli perniagaan, personaliti televisyen, dan ahli politik Amerika Syarikat yang berkhidmat sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45 dari 20 Januari 2017 hingga 20 Januari 2021.

Insiden mengejutkan itu mencetuskan kebimbangan dalam negara yang kini sedang bergolak dengan politik menjelang pilihan raya pada November antara Trump dan Presiden Joe Biden.

"Bekas presiden selamat," menurut Perkhidmatan Rahsia menerusi X (Twitter).

Sementara itu, Trump sedang mendapatkan rawatan lanjut di sebuah perubatan tempatan.

"Presiden Trump mengucapkan terima kasih kepada penguatkuasa undang-undang dan responden pertama atas tindakan pantas mereka semasa tindakan kejam ini.

"Dia baik-baik saja dan sedang diperiksa di kemudahan perubatan tempatan. Maklumat lanjut akan menyusul," kata jurucakap Steven Cheung dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, The Washington Post melaporkan penembak Trump disahkan mati termasuk seorang orang awam. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN